KELEBIHAN BULAN RABIUL AWAL KEPADA UMAT ISLAM
Bulan Rabiulawal
bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut
kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula
berbunga dan seterusnya berbuah.Maka nama bulan ini diambil sempena musim
berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah
mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang. Bulan ketiga dalam
kalendar Hijrah ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada
seluruh umat manusia. Perayaan Maulid Nabi pertama kali diperkenalkan
oleh Abu Said al-Qakburi, seorang gubernur Irbil, di Irak pada masa
pemerintahan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (1138-1193).
Ada yang berpendapat
bahwa pendapat itu sendiri berasal dari Sultan Salahuddin sendiri. Tujuannya
adalah untuk membangkitkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, serta
meningkatkan semangat juang kaum muslimin saat itu, yang sedang terlibat dalam
Perang Salib melawan pasukan Kristen Eropa dalam upaya memperebutkan kota
Yerusalem.
Nabi junjungan kita Nabi
Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah diputerakan pada bulan ini iaitu pada
12 Rabiulawal, yang pada tahun ini jatuh pada 21hb April, 2005. Berbagai acara
sambutan diadakan bagi memuliakan hari keputeraan junjungan kita ini.
Bulan Rabiulawal adalah
seperti bulan-bulan Islam yang lain maka amalan sunat di bulan Rabiulawal
adalah sama seperti amalan sunat di bulan-bulan yang lain. Kita dianjurkan
untuk meningkatkan amalan-amalan fardu dan sunat tanpa mengira di bulan manapun
di sepanjang tahun. Amalan-amalan kita itu akan menjadi bekalan untuk kita
meneruskan perjalanan ke padang mahsyar kelak.
Selain dari itu, kualiti
ibadah juga adalah diambil kira. Niat dan keikhlasan mempunyai pengaruh yang
amat besar dalam menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat sesuatu ibadah
itu diterima ialah niat. Niat itu akan menggambarkan keikhlasan kita. Kerja
yang ikhlas akan membawa kepada kesempurnaan dan kesempurnaan akan membawa
kepada kepuasan dan kepuasan akan membawa kepada ketenangan..
Selawat ke atas Nabi
Muhammad S.A.W merupakan suatu amalan yang disyariatkan oleh Islam.Firman Allah
(s.w.t) yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya
bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk
Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. [Surah Al-Ahzab: 56]
Manakala di dalam
hadith-hadith Rasulullah (S.A.W.), terdapat banyak arahan dan
kelebihan-kelebihan yang dinyatakan berkenaan dengan selawat ke atas baginda
(S.A.W.), antaranya, Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Barangsesiapa
yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah (s.w.t) akan
berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada
Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass r.a].
Sabda Rasulullah (S.A.W.)
yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari
kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku”. [Hadith riwayat Imam
Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a].
Apabila kita menyambut
Maulidur Rasul, banyak kelebihan-kelebihan yang diperolehi. Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membesarkan
hari keputeraanku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan
barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas
sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah."
Sayyidina Abu Bakar
As-Siddiq Radiallahuanhu berkata: "Barangsiapa membesarkan Maulud Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam, maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam
syurga."
Begitu pula As-Sirri As
Saqati berkata: "Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ
Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sesungguhnya dia diberi satu kebun
daripada kebun-kebun syurga kerana dia pergi ke tempat itu tidak lain kerana
cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam." Keberkatan mengadakan
Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu,
tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat
keberkatannya.
Jalalaludin As-Sayuti
berkata: "Barangsiapa antara orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya
Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, nescaya Allah Subhanahu Wataala akan
menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala, penderitaan,
kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan
apabila dia mati, Allah Subhanahu Wataala akan memudahkan dia menjawab akan
soalan-soalan Mungkar dan Nakir dan dia akan mendapat tempat bersama
orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar
Kerajaan-Nya."
Beliau berkata lagi:
"Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya
akan Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melainkan malaikat-malaikat
melindungi ahli-ahli tempat itu dan Allah Subhanahu Wataala akan melimpahkan
rahmat-Nya kepada mereka dan malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti
Jibril, Mikail, Israfil mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang menganjurkan
dan menyebabkan adanya majlis Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu."
Kedudukan selawat ke atas
nabi (S.A.W.) ini merupakan perkara yang diwajibkan menurut sebilangan besar
ulama’. Malahan dinukilkan bahawa Al-Imam Al-Qurthubi menyatakannya sebagai
ijma’ ulama’. Apa yang diperselisihkan oleh ulama’ ialah adakah selawat itu
wajib pada setiap kali majlis dan disebut nama Nabi Muhammad (S.A.W.) atau adakah
ianya sunat (bagi yang bersepakat menyatakan ianya wajib seumur hidup). Dalam
hal ini, sebahagian ulama’ menyatakan ianya wajib setiap kali disebut nama
Rasulullah (S.A.W.), dan sebahagian yang lain menyatakan wajib sekali di
sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap kali disebut nama
Rasulullah (S.A.W.) dan sebahagian yang lain menyatakan wajib memperbanyakkan
selawat tanpa terikat dengan bilangan dan tidak memadai sekali seumur hidup.
Menurut jumhur ulama
dalam masalah ini, selawat ke atas nabi (S.A.W.) merupakan ibadat dan jalan
mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t). Seperti juga zikir, tasbih dan tahmid.
Ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap waktu dan ketika.
Sepatutnya juga ke atas setiap muslim memperbanyakkannya. Berkait juga dengan
soalan yang dikemukakan, iaitu tentang hukum selawat dalam sembahyang. Perkara
ini berlaku khilaf di kalangan ulama’.
Menurut pandangan Mazhab
Syafei dan Hambali, selawat diwajibkan dalam sembahyang dan tidak sah
sembahyang tanpa selawat. Manakala dalam Mazhab Maliki dan Hanafi, selawat
merupakan perkara yang sunat muakkad dan sah sembahyang tanpanya tetapi dalam
keadaan yang makruh.
Kelebihan berselawat yang
lain lagi ialah sebagaimana hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam seterusnya,
daripada Umar bin Al-Khattab, ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda maksudnya, "Sesungguhnya doa itu terhenti antara langit
dan bumi, tidak naik barang sedikit juga daripadanya sehingga engkau berselawat
ke atas-Ku". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
Dengan memperbanyakkan
selawat juga kita akan dapat mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala,
menghilangkan kesusahan dan kegelisahan, meluaskan rezeki, dikabulkan segala
keperluannya dan insya Allah akan memperolehi syafaat di akhirat kelak. Semua
ini akan dapat dicapai jika kita sentiasa mengamalkannya dengan penuh yakin dan
istiqamah. Walau bagaimanapun janganlah menganggap hanya dengan berselawat
sahaja kita akan memperolehi kelebihan-kelebihan yang telah disebutkan tadi
sedangkan amalan-amalan yang lebih utama seperti sembahyang, puasa, membayar
zakat dan lain-lain lagi diabaikan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar